PETALING JAYA – Syarikat Home Of Champions ( HOC ) yang didakwa menggunakan jenama kumpulan rock legenda Search tanpa kebenaran mengesahkan belum menerima sebarang notis tuntutan hingga ke hari ini.
Pengurusnya, Mozylir Mokhtaruddin berkata isu dibangkitkan penyanyi, Amy, Suhaimi Abdul Rahman dan pemain gitar bass, Nasir Daud hanya akan dijawab pada sidang media dalam talian pada 28 Mei ini.
“Merujuk kenyataan pada 20 Mei 2021 di platform akhbar, media sosial dan elektronik, ia jelas memberitahu HOC menggunakan nama Search tanpa kebenaran untuk menjual pakaian dan aksesori.
“Namun sehingga dari tarikh kenyataan media ini dikeluarkan, pihak HOC mahu pun peguam kami belum menerima sebarang notis tuntutan daripada pihak Amy dan Nasir.
“Bagi segala tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan berhubung perkara ini, akan dijelaskan kepada umum ketika sidang media virtual pada Jumaat ini bertarikh 28 Mei 2021, pukul 3 petang.
“Sidang media ini bakal dihadiri barisan peguam kami dan pihak Search. Segala tuduhan dan pertanyaan wakil media akan dijawab,” katanya.
Terdahulu, pada minggu lalu Amy, Nasir dan waris Allahyarham Yazit Ahmad, Shamirnuri, 36, memberi tempoh kepada Mozylir Mokhtaruddin dan HOC untuk menghentikan kegiatan dan perniagaan yang didakwa menggunakan nama kumpulan terbabit.
Jika pihak berkenaan masih berdegil, mereka akan membawa isu berkaitan hak cipta dan harta intelek di bawah jenama Search itu ke peringkat perundangan.
Sementara itu, dalam kenyataan sama, Mozylir memaklumkan operasi perniagaan mereka masih berjalan seperti biasa seperti dijadualkan termasuk urusan pemasaran.- K! ONLINE