SHAH ALAM – Seramai 2.3 juta rakyat Malaysia telah menerima vaksin Covid-19 sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dimulakan Februari sehingga semalam.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, bilangan tersebut masih lagi rendah jika dibandingkan dengan jumlah populasi Malaysia yang dianggarkan kira-kira 32 juta orang.
“Seramai 1.4 juta orang telah menerima dos pertama manakala 870,051 orang pula sudah lengkap mengambil dos kedua.
“Jumlah ini tidak sampai pun dua peratus daripada populasi rakyat Malaysia, tapi saya yakin jumlah penerima vaksin akan meningkat apabila lebih banyak dos vaksin tiba menjelang bulan Jun,” katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) AstraZeneca di Ideal Convenction Centre Shah Alam (IDCC) di sini, hari ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu program bual bicara semalam memaklumkan semua rakyat Malaysia dijangka diberi suntikan vaksin Covid-19 sebelum hujung tahun ini.
Malah, beliau turut memberi jaminan semua bekalan vaksin yang ditempah kerajaan akan tiba lebih awal daripada perancangan, iaitu sebelum berakhirnya tahun ini.
Ahmad Amzad memberitahu, kerajaan setakat ini telah membelanjakan sebanyak RM3.16 bilion untuk pembelian bekalan vaksin Covid-19.
Ketika ditanya mengenai PPV, beliau berkata, hanya 30 peratus daripada 1,400 PPV yang dijangka dibuka kerajaan sebelum ini beroperasi kerana jumlah bekalan vaksin yang masih rendah.
“Sekiranya lebih banyak PPV dibuka, kerajaan menjangkakan kira-kira 150,000 dos vaksin sehari dapat dibuat menjelang Jun ini selari dengan jumlah bekalan vaksin yang lebih tinggi akan diterima pada bulan hadapan. Setakat ini, sebanyak 80,000 suntikan dapat dilakukan dalam tempoh sehari. -K!ONLINE