TOKYO – Jepun membuka pusat vaksinasi besar-besaran pertamanya hari ini sebagai usaha untuk mempercepatkan program imunisasi Covid-19 dengan hanya berbaki dua bulan sebelum Sukan Olimpik Tokyo dijadualkan berlangsung.
Dua pusat vaksinasi yang dibuka di Tokyo dan Osaka itu dijangka memberikan ribuan dos suntikan setiap hari yang akan dimulakan dengan golongan warga emas.
Buat masa ini, hanya dua peratus daripada penduduk Jepun yang telah menerima suntikan vaksinasi sepenuhnya berbanding kira-kira 40 peratus di Amerika Syarikat dan 15 peratus di Perancis.
Kadar pelaksanaan yang perlahan itu menerima kritikan ramai memandangkan Jepun kini berdepan dengan gelombang keempat virus Covid-19.
Situasi itu adalah disebabkan oleh peraturan perubatan yang ketat serta birokrasi yang kompleks.
Meskipun begitu, beberapa penduduk yang menerima suntikan hari ini melahirkan rasa teruja mereka untuk meneruskan kehidupan selepas ini.
“Ia amat bagus. Saya boleh bertenang sekarang. Sudah setahun setengah saya berasa gelisah dan tertekan,” ujar seorang warga emas, Hideo Ishikawa, 73.
Pusat vaksinasi di Tokyo dijangka mampu memberikan sehingga 10,000 suntikan sehari, manakala di Osaka akan memberikan sehingga 5,000 suntikan.
Kedua-dua pusat tersebut menggunakan vaksin Moderna dan AstraZeneca yang memerlukan dua dos untuk perlindungan lengkap.
Jepun mula memberi suntikan Pfizer kepada petugas perubatannya pada Februari lepas dan diikuti dengan golongan berumur 65 tahun ke atas yang dijangka selesai pada penghujung Julai ini. – AFP