fbpx

Pemeriksaan rawak pastikan pelanggan beli-belah dua jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alexander ketika pengumumkan pelaksanaan SHMMP Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2021 secara maya di Facebook Live KPDNHEP hari ini.

PUTRAJAYA – Had masa dua jam yang diberikan kepada pelanggan untuk membeli-belah di premis peruncitan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang berkuat kuasa ketika ini akan dipantau menerusi MySejahtera apabila pelanggan masuk ke premis terbabit.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penguatkuasaan secara rawak akan dibuat di premis yang kerap dikunjungi bagi memastikan pelanggan mematuhi tempoh masa yang ditetapkan.

“Kementerian ada kira-kira 2,200 penguat kuasa di seluruh negara, jadi kita akan buat pemeriksaan secara rawak,” katanya pada sidang akhbar pengumuman Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2021 secara maya hari ini.

Semalam, Alexander dalam satu kenyataan dilaporkan berkata, kerajaan menetapkan tempoh masa pelanggan di dalam semua premis peruncitan termasuk pusat beli-belah dihadkan kepada maksimum dua jam sahaja.

Katanya, had jumlah pelanggan di dalam semua premis peruncitan dalam satu-satu masa juga diwajibkan mengikut keluasan premis perniagaan dengan penetapan satu orang bagi setiap empat meter persegi.

Sementara itu, Alexander berkata, perkhidmatan ‘dine-in’ di dalam kenderaan tidak dibenarkan kerana belum ada prosedur operasi standard (SOP) yang membenarkan premis makanan menyediakan perkhidmatan seumpama itu.

“Jadi setakat ini selagi belum ada keputusan atau SOP baharu tentang ini (sediakan perkhidmatan ‘dine-in’ di dalam kenderaan) memang tidak bolehlah buat masa sekarang,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI