TUMPAT- Beberapa penduduk di sebuah kampung di Kepulauan Tumpat di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketakat (PKPD) sejak Jumaat lalu mengalami masalah untuk mendapatkan bekalan air bersih.
Seorang penduduk di Teluk Renjuna, Mohd. Zain Sulaiman, 63, berkata, kawasan itu sering mengalami masalah bekalan air dan apabila dikenakan PKPD ia sekali gus menyukarkan penduduk untuk ke kawasan darat untuk mengambil bekalan air bersih.
Menurutnya, buat masa ini, dia hanya menggunakan bekalan air sungai untuk mandi dan melakukan pelbagai urusan harian.
“Meskipun air sungai keruh, namun itu saja bekalan air yang dapat kami gunakan untuk urusan harian termasuk mengambil wuduk.
“Kami memerlukan air minuman yang dihantar oleh ahli keluarga di kawasan darat kerana tidak dapat bergerak ke sana,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.
Mohd. Zain berkata, bekalan air minuman yang dibeli hanya bertahan selama seminggu dan akan menghubungi semula anaknya yang tinggal di Kota Bharu untuk menghantar bekalan selepas tempoh itu.
Katanya, bagaimanapun, dia amat bersyukur apabila ujian saringan Covid-19 mendapati keluarganya negatif, namun tetap patuh arahan untuk tidak keluar dari kawasan itu hingga 4 Jun depan.
Berdasarkan rekod, kawasan Kepulauan Tumpat melibatkan empat lokaliti iaitu Teluk Renjuna, Pantai Nik Haji Nik Mat, Pulau Beluru dan Pantai Suri.
Sementara itu, penduduk Pulau Beluru, Rokiah Salleh, 45, berkata sepanjang tempoh PKPD, dia sekeluarga tetap mematuhi arahan dan duduk di rumah.
“Kami hanya duduk dalam rumah selepas menjalani ujian saringan. Kebanyakan penduduk disini mematuhi udang-undang dalam tempoh PKPD ini.
“Bekalan makanan termasuk beras, sardin, ikan kering dan barangan dapur dihantar pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terus ke rumah.
“Bagi penduduk di Pulau Beluru, kami tidak menghadapi masalah air. Bekalan air bersih melalui paip masih diperoleh setiap hari sepanjang tempoh PKPD ini,” katanya. – K! ONLINE