PETALING JAYA – Pelakon Nadhir Nasar menjadi selebriti terkini yang berdepan kehilangan orang tersayang angkara Covid-19 apabila neneknya disahkan meninggal dunia semalam.
Berita duka tersebut dikongsikan Nadhir, 25, menerusi ciapan menyayat hati dalam Twitternya.
“Al-Fatihah buat nendaku yang pergi disebabkan Covid-19.
“Manusia pergi itu normal. Ibu pergi tidak bersama anak-anaknya di sisi itu tidak normal.
“Kau takkan faham kalau kau tak laluinya sendiri. Semoga ibuku kuat. Jaga diri semua,” tulisnya.
Terdahulu, beberapa selebriti tanah air turut berdepan kehilangan memilukan apabila ada antara ahli keluarga mereka meninggal dunia disebabkan wabak maut tersebut.
Antaranya Sharnaaz Ahmad yang kehilangan bapa saudaranya pada 15 Mei lalu, sementara bapa mertua Marsha Milan pula menghembuskan nafas terakhir pada 22 Mei baru-baru ini.
Begitu juga dengan penyanyi Azlan Typewriter yang kehilangan bapa tercinta pada 21 April lalu selepas tiga minggu bertarung nyawa di hospital. – K! ONLINE