fbpx

Fieya Julia terus mengejar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JIKA diamati perjalanan karier penyanyi Fieya Julia dalam tempoh tiga tahun ini, kanvas seninya boleh dianggap cantik tanpa ada sebarang titik noda, apatah lagi dibasahi dengan simbahan kontroversi.

Langkah pertama dalam perjalanan kariernya yang bermula dengan terbitan single Perasaanku boleh dianggap sempurna pada tahun 2018 sebelum kelahiran lagu kedua, Seperti Ini tahun lalu.

Namun, terangnya langit jangan disangka tiada hujan dan badai yang melanda. Sama juga situasinya dengan penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak ini. Meskipun lagunya hit di carta-carta lagu, tapi nama si empunya diri masih samar dalam kotak ingatan ramai.

Malah, asimilasinya dengan industri dilihat masih belum menjadi sepenuhnya berbanding rakan seperjuangan yang kebanyakannya sudah melangkah kaki ke pertandingan berprestij tinggi.

 

BAKAL muncul dengan single terbaharu bergenre balada ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh pada bulan ini.

 

Pemilik nama penuh Nur Syafiyah Sejali itu berkata, dia juga sudah lali apabila acap kali diajukan pertanyaan mengapa namanya kurang dikenali ramai meskipun lagunya sering diputar dalam corong-corong radio.

“Benar, masih ramai tidak mengenali saya. Ada yang kenal saya tapi tidak tahu lagu-lagu saya. Ramai yang tahu lagu Perasaanku, tapi tidak kenal siapa penyanyinya. Saya anggap itu kelakar juga kadang-kadang (ketawa).

“Tetapi bagi saya, itu laluan sukar yang perlu dihadapi sebagai seorang penyanyi baharu. Memang susah, tapi saya berusaha mendaki perlahan-lahan tangga menuju ke puncak,” ujarnya.

Tidak lokek dengan senyuman, Fieya juga berkongsi strateginya untuk kekal dalam industri adalah dengan banyak merakam lagu saduran.

Katanya: “Saya perlu aktif membuat cover song dan memuat naiknya dalam media sosial sebab sebelum ini ramai yang mengenali saya menerusi platform tersebut.

Menyelami lubuk hati penyanyi yang itu, meskipun namanya tidak gah seperti penyanyi baharu lain, dia amat bersyukur dengan rezeki yang dikecapi sehingga hari ini.

“Bukan mudah untuk berada di mana saya berdiri ketika ini. Walaupun ada yang melabel saya sebagai penyanyi lagu jiwang, saya okey dan tak ambil hati pun.

“Tak kisahlah hendak panggil saya penyanyi leman ke, jiwang ke. Saya tetap okey sebab bidang nyanyian memang minat saya sejak di bangku sekolah dan mampu beri kepuasan. Jadi, tak perlulah sentap dengan komen-komen orang,” ujarnya.

 

ANAK bongsu daripada tiga beradik ini mula menyanyi pada usia 11 tahun dan pernah menyertai Bintang Kecil RTM Peringkat Negeri Sarawak pada 2010.

 

Penyanyi bersuara lemak merdu ini juga mengakui cemburu juga dengan rakan-rakannya yang sudah terbang tinggi sehingga ada yang berjaya merangkul anugerah.

Tambahnya: “Tak apalah, itu rezeki mereka. Saya optimis rezeki saya akan tiba nanti. Insya-Allah.

Palitan gosip

“Tak mahulah terkenal, tapi jadi bahan gosip murahan,” ungkap Fieya saat ditanya mengapa namanya terlalu ‘bersih’ sepanjang bergelar penyanyi.

Seboleh-bolehnya dia tidak mahu namanya menjadi sebutan kerana terpalit dengan kontroversi yang tidak sepatutnya.

Tuturnya, dia mahu dirinya dikenali sebagai seorang penghibur yang berkualiti bukannya kerana menjaja cerita peribadi yang tidak ‘enak’ sehingga memburukkan imejnya.

Tambahnya: “Menjadi seorang yang dikenali ini bukanlah perkara yang mudah sebenarnya. Saya perlu menjaga kehormatan diri dan juga keluarga.

“Kebebasan dan kepercayaan yang keluarga berikan pada hari ini bukanlah tiket untuk saya buat sesuka hati atau berseronok tanpa batasan.

“Saya tahu ramai artis baharu yang dikenali sebab gosip cinta tapi saya bukan begitu. Hendak bercinta pun tiada calon (ketawa),” katanya yang tidak meletakkan sasaran umur untuk menamatkan zaman bujang.

 

FIEYA tidak mahu menjadi popular disebabkan kisah kontroversi.

Impian

Memacak impian untuk bergandingan serta berpadu suara dengan penyanyi idolanya, Misha Omar adalah satu episod yang ingin dicapainya.

Mengagumi bakat yang dimiliki Misha, Fieya menjadikan penyanyi yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu sebagai penanda arasnya dalam bidang nyanyian.

“Saya memang minat Misha sejak dibangku sekolah lagi. Kagum sangat dengan kualiti vokalnya sebab sampai ke hari ini dia berjaya mengekalkan momentum tersebut.

“Harapnya saya akan berpeluang untuk berduet dengannya, malah ada yang cakap suara saya mirip dengan Misha, tapi bila saya dengar sendiri, tak sama pun,” katanya lagi.

Selain itu, Fieya turut menyimpan hasrat untuk menempa nama sebagai usahawan berjaya dengan membina sebuah empayar perniagaan.

“Kalau boleh saya hendak menjadi ahli perniagaan berjaya dalam masa lima tahun akan datang sekiranya keadaan kewangan mengizinkan, tak mahu terlalu bergantung dengan bidang nyanyian sahaja.

“Jadi, bermula sekarang Fieya akan kumpul duit untuk dijadikan modal bagi memulakan perniagaan itu,” ujarnya seraya menutup perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI