PETALING JAYA – Program digitilasi belia, Digitalise Penang for Youth bakal memberi manfaat kepada golongan belia untuk melengkapkan pengetahuan dan kemahiran teknikal dalam usaha menguasai ekonomi digital.
Inisiatif yang dibangunkan oleh Exabytes Network Sdn. Bhd. (Exabytes) dengan kerajaan negeri Pulau Pinang dan juga Perbadanan Pembangunan Belia negeri itu menyasarkan kepada belia yang berumur antara 15 hingga 35 tahun.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Exabytes Network Sdn Bhd, Chan Kee Siak berkata, inisiatif CSR ini akan dapat membentuk kemahiran digitalisasi yang relevan seperti penyediaan domain, pengehosan Web, virtual private server (VPS) dan pelbagai kemahiran lain.
Menurutnya, kemahiran tersebut akan dapat membangunkan atau memantapkan lagi keupayaan pengaturcaraan mereka bagi membina sebuah kerjaya yang berjaya dalam industri teknologi.
“Kami memperuntukkan RM500,000 dalam bentuk perkhidmatan dan produk penyelesaian digital untuk menjayakan inisiatif Digitalise Penang for Youth bagi mencipta peluang buat golongan belia untuk berkembang secara digital dan memulakan impian digitalisasi mereka.
“Inisiatif ini juga akan memberikan mereka peluang untuk berkembang secara digital dan meninggalkan impak yang bermakna dalam industri,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini baru-baru ini.
Selain itu, Kee Siak menerangkan, program tersebut terbuka kepada 1,000 belia yang sedang belajar di sekolah menengah, bekerja ataupun tidak bekerja serta mereka yang sedang belajar di kolej atau universiti dan mengikuti pengajian rekaan laman web, pengaturcaraan laman web, atau kursus-kursus lain.
Tambah beliau, Inisiatif ini seiring dengan anjakan terkini dalam aspek pekerjaan dan kehidupan seperti aktiviti pembelian secara online, perbankan online, bayaran secara maya dan ekonomi gig yang beralih kepada ekosistem maya dengan pesat dan semakin diterima sebagai satu norma baharu.