fbpx

Usah sedih, pelakon ‘kayu’ boleh diasah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

BEBERAPA hari lalu, penulis sempat mencuri masa untuk menonton satu episod drama terbaharu yang sedang hangat ditayangkan di kaca televisyen.

Jalan ceritanya dan skrip agak klise, hampir sama dengan beberapa buah drama yang pernah ditayangkan sebelum ini.

Walaupun agak membosankan, ada satu perkara yang berjaya menuai perhatian penulis iaitu heroin drama tersebut.

Pada mulanya terfikir siapakah dia tetapi hasil daripada ‘risikan’, rupa-rupanya pelakon itu merupakan seorang pempengaruh media sosial (instafamous), Sharifah Rose yang dikenali ramai.

Terkejut juga bagaimana seorang instafamous dengan mudah diangkat menjadi heroin drama dalam slot terkenal, mungkin kerana bakat terpendamnya.

Setahu penulis, daripada pe­ngalaman yang dikongsi pelakon-pelakon senior, mereka perlu melepasi sesi uji bakat untuk memegang sesebuah watak, dan tugasan itu bukan mudah.

Hasil tinjauan penulis dalam media sosial, rata-rata netizen menggelar Sharifah Rose sebagai ‘kayu’ dan ‘pokok’ disebabkan lakonannya dalam drama tersebut.

Gelaran tersebut dilempar kerana ramai berpendapat lakonannya sangat kaku dan gagal menyampaikan emosi wataknya kepada para penonton.

Sungguh pantas netizen menilai, lebih teruk ada yang me­minta dia berlakon menjadi pokok kerana tidak layak untuk memegang watak heroin.

Perkara tersebut turut mendapat perhatian seorang pengarah drama terkenal iaitu Shahrulezad Mohameddin tidak menafikan kewujudan pelakon kayu dalam industri hiburan ta­nah air.

“Sharifah Rose ini sama seperti pelakon lain yang saya tengok, ada potensi untuk berjaya sekiranya dia bersungguh-sungguh.

“Perkara penting ialah sentiasa ikhlas dengan minatnya dan jauhi kontroversi yang merepek-repek,” katanya.

Sementara itu, pengarah drama Nur itu turut menasihatkan agar barisan pelakon baharu negara ini percaya dengan rezeki dan tidak akan pernah berhenti berusaha untuk belajar.

“Kepada pelakon yang pernah saya tolak dahulu, anda sebenarnya tidak terlalu teruk, cuma rezeki akan tiba satu hari nanti.

“Anda semua harus berusaha untuk gapai apa yang dihajati. Jangan pernah putus asa jika anda ditolak daripada mana-mana uji bakat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, pendatang baharu, Sharifah Rose ketika dihubungi Kosmo! memberitahu, dia tidak akan pernah berhenti berlakon meskipun dihentam teruk oleh netizen.

“Pelakon kayu boleh diajar dan saya akan buktikannya. Kecaman dan teguran itu perlu kerana saya boleh belajar daripadanya.

“Malah, dengan kritikan juga saya boleh melihat semula kesilapan dan apa yang perlu ditambah baik dalam lakonan. Tiada manusia sempurna,” jelasnya.

Tambahnya, dia juga tidak serik dan akan terus melebarkan lagi sayap kariernya selagi diberi peluang.

“Selagi diberikan kepercayaan dan peluang, saya tidak akan serik untuk berlakon. Ini baru permulaan untuk saya,” ujarnya.

Pendek kata, setiap perkara yang baru bermula tidak semestinya indah belaka.

Sama juga halnya dengan mutu lakonan seorang pendatang­ baharu. Beri peluang, tidak selamanya menjadi kayu sekiranya rajin diasah. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI