LISBON – Presiden Sporting Lisbon, Frederico Varandas percaya bintang Juventus, Cristiano Ronaldo akan kembali menyarung jersi skuad juara Portugal itu sebelum karier profesionalnya berakhir satu hari nanti.
Masa depan pemenang lima Ballon d’Or itu bersama The Old Lady menjadi tanda tanya, namun ejen Ronaldo iaitu Jorge Mendes menegaskan, tiada sebarang perbincangan berhubung urusan perpindahan dilakukan ketika ini.
Bagaimanapun, Ronaldo, 36, yang kini memasuki tahun terakhir dalam kontraknya di Juventus, dijangka berhijrah mencari cabaran baharu dengan beberapa bekas pasukannya turut dikaitkan seperti Manchester United, Real Madrid dan Sporting.
“Saya fikir dia (Ronaldo) akan kembali juga bermain di sini. Malah, dia adalah individu pertama yang mengucapkan tahniah atas kemenangan kami (juara Liga Primeira Portugal).
“Sekarang Ronaldo masih mempunyai setahun lagi kontrak dengan Juventus dan saya sedar dia mahu terus bersaing memburu kejuaraan Liga Juara-Juara.
“Segalanya terpulang kepada dia sama ada mahu pulang ke sini ataupun tidak. Kepulangannya amat penting buat kami kerana Cristiano sendiri adalah peminat setia Sporting,” kata Varandas.
Sebagai rekod, Ronaldo memulakan karier profesionalnya bersama Sporting pada 2002 sebelum berhijrah menyertai United dari 2003 hingga 2009 diikuti Real (2009-2018) dan kini bersama Juventus.
Bagaimanapun, kapten Portugal itu dilaporkan sanggup menerima potongan gaji untuk kembali menyarung jersi United yang dianggap sebagai salah satu pasukan relevan mampu memburu trofi Liga Juara-Juara musim depan. – AGENSI