fbpx

12 nelayan Vietnam ditahan ceroboh perairan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salah sebuah bot nelayan asing warga Vietnam yang berjaya ditahan oleh Maritim Malaysia Kelantan di perairan negara kelmarin.-Foto IHSAN MARITIM MALAYSIA KELANTAN

PASIR PUTEH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menahan 12 orang nelayan asing warga Vietnam dan dua buah bot yang digunakan untuk memukat ikan secara tunda ganding di perairan negara kelmarin.

Kedua-dua bot yang menceroboh dan merompak hasil laut negara itu dikesan oleh Kapal Maritim (KM) Amanah pada pukul 5 petang ketika menjalankan Ops Kuda Laut di sekitar perairan negeri ini.

Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Muhd. Nur Syam Asmawie berkata, kedua-dua bot memotong tali pukat ganding dan berpecah untuk meloloskan diri ke arah sempadan laut negara mereka selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Menurutnya, 10 nelayan termasuk tekong di dalam bot pertama ditahan pada pukul 5.40 petang manakala bot kedua yang dikemudi seorang tekong dan seorang nelayan kira-kira 25 minit kemudian.

“Mereka yang berusia 22 hingga 53 tahun bersama bot terbabit telah dibawa ke jeti Maritim Malaysia Kelantan di sini pada pukul 4 petang semalam.

“Pemeriksaan mendapati, mereka membawa pelbagai jenis ikan termasuk ikan baja seberat 1.3 tan dan bekalan minyak diesel dianggarkan sebanyak 7,300 liter,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Muhd. Nur Syam Asmawie, alat perhubungan radio, alat penjejak sistem kedudukan global (GPS), pukat dan tali yang digunakan oleh mereka turut dirampas.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai RM1.2 juta.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, kedua-dua bot tidak memiliki permit untuk menangkap ikan di bawah Akta Perikanan 1985.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia,” katanya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI