PETALING JAYA – Sebuah kedai emas di Seri Kembangan, Serdang kerugian kira-kira RM50,000 selepas disamun dua lelaki bermotosikal, semalam.
Difahamkan suspek yang memakai baju hitam menyerbu masuk kedai berkenaan sekitar pukul 2.14 petang.
Pemangku Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Mohd. Rosdi Daud berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 2.31 petang.
“Suspek disyaki dua lelaki bertindak memecahkan cermin kedai emas dengan menggunakan objek yang tumpul bagi mendapatkan barang kemas.
“Sebaik memperoleh hasil samun, kedua-dua suspek melarikan diri menggunakan dua buah motosikal berasingan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, setakat ini pihak polis masih belum dapat mengenal pasti identiti kesemua suspek termasuk umurnya.
“Kita juga masih menyiasat anggaran sebenar jumlah kerugian barang kemas yang dilarikan,” ujarnya.
Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil ke mana-mana balai polis untuk membantu siasatan. – K! ONLINE