KOTA BHARU – Kelantan sudah mengenal pasti dua lagi lokasi untuk membuka Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) yang baharu berikutan peningkatan mendadak kes jangkitan itu sejak kebelakangan ini.
Pengarah PKRC negeri, Dr. Mohd. Azman Yacob berkata, dua PKRC baharu itu masing-masing terletak di Padang Perdana dan Dewan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan, Tanjung Chat di sini.
Katanya, dua PKRC tersebut dijangka mampu menempatkan hampir 1,000 pesakit Covid-19 tahap satu dan dua.
“Disebabkan beberapa kluster baharu telah tercetus di seluruh Kelantan, PKRC yang sedia ada hampir penuh dan kita terpaksa memikirkan untuk membuka beberapa PKRC lagi.
“PKRC di Gelanggang Seni kini hampir penuh apabila semakin ramai pesakit yang masuk ke situ selepas wujudnya Kluster Pauh Lima, Pulau Beluru dan Kampung Terusan,” katanya ketika ditemu pemberita di PKRC Gelanggang Seni di sini hari ini.
Dr. Mohd. Azman berkata, kebanyakan pesakit yang ditempatkan di PKRC itu terdiri daripada pesakit Covid-19 tahap satu, dua dan tiga dari seluruh negeri.
“Di Kelantan amat sukar untuk mendapatkan dewan yang besar bagi mewujudkan PKRC.
“Bagi menampung pertambahan pesakit, kita akan menambah 30 lagi katil klinikal di Gelanggang Seni, memandangkan Hospital Raja Perempuan Zainab II disini sudah penuh dengan pesakit tahap tiga ke atas,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr. Mohd. Azman berkata, setiap PKRC yang dibuka memerlukan perbelanjaan yang tinggi untuk beroperasi.
“Sebagai contoh di Gelanggang Seni, kita memerlukan lebih RM200,000 untuk menyediakan 30 katil perubatan termasuk pembelian katil klinikal yang baharu, pendawaian, mesin, ubatan dan kemudahan lain,” katanya.
Berdasarkan rekod, Kelantan setakat ini telah membuka sebanyak 10 buah PKRC untuk menempatkan pesakit Covid-19.