PETALING JAYA – Seorang bayi yang masih dalam kandungan disahkan meninggal dunia selepasnya ibunya ditahan di sebuah wad akibat positif Covid-19.
Perkara itu dikongsikan oleh seorang pengamal perubatan menerusi laman sosial media twitter yang turut berkongsi rasa sedih dengan berita mengejut itu.
Difahamkan kandungan itu berusia hampir 30 minggu.
“Wanita itu merupakan ibu mengandung yang positif Covid-19. Sepatutnya semalam adalah hari untuk menanggalkan gelang kuarantinnya, tetapi lain yang jadi apabila bayi yang berusia 30 minggu itu meninggal dunia.
“Kami juga kesan tiada degupan jantung hasil dari pemeriksaan yang kami lakukan. Pada pukul 4.16 pagi, bayi selamat dilahirkan tanpa bunyi tangisan dan dalam keadaan biru,” jelasnya pada tangkap layar tersebut.
Menurutnya lagi, dia kemudian menelefon suami pesakit wanita tersebut pada pukul 5 pagi untuk memberitahu keadaan isterinya.
Suami wanita tersebut reda menerima berita pemergian anak mereka dan bertanyakan tentang keadaan isterinya selepas bersalin.
“Jenazah anak saya bila boleh ambil, doktor? Bagaimana pula keadaan isteri saya? Dia sedih sangat doktor, tetapi kerana Covid-19, sudah lama saya tidak berjumpa dengan isteri saya,” kata lelaki tersebut dengan nada yang sedih.
Kemudian, pihak hospital mengambil ujian Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) terhadap bayi tersebut dan keputusannya adalah negatif.
Doktor tersebut menasihati supaya terus kekal selamat kerana wabak Covid-19 ini menyerang tidak kira peringkat umur. – K! ONLINE.