JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memeriksa seramai 1,000 penuntut yang berada di kampus universiti berkenaan dalam tempoh dua hari pada Jumaat dan semalam.
UTM dalam satu kenyataan memberitahu, ujian saringan secara besar-besaran itu bertujuan untuk mengesan gejala awal Covid-19 dalam kalangan warga kampus yang sedang menjalani kuarantin ketika ini.
Kenyataan itu berkata, keputusan ujian dijangka akan diperoleh dalam tempoh dua atau tiga hari.
“Sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di UTM, operasi di klinik universiti telah ditutup.
“Penutupan itu bagi membolehkan keutamaan diberi kepada perkhidmatan klinik bergerak yang akan meliputi semua kolej kediaman di dalam kawasan kampus.
“Pemeriksaan yang dibuat turut bertujuan untuk merawat penuntut yang mempunyai penyakit serta kecemasan lain,” jelas kenyataan itu. -K! ONLINE