BEIJING – Sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh dan lima lagi hilang apabila hujan ais dan angin kencang melanda sebuah pertandingan larian ultra-marathon merentas desa sejauh 100 kilometer di China.
Cuaca buruk itu berlaku ketika perlumbaan berlangsung di Hutan Batu Sungai Kuning dekat Bandar Baiyin, dalam wilayah Gansu di barat laut China
Pihak berkuasa berkata, lebih 700 anggota penyelamat telah dikerahkan untuk mencari peserta yang hilang.
“Menurut pasukan penyelamat, sekitar pukul 1 pagi semalam (waktu tempatan) hujan ais dan ribut melanda kawasan pertandingan di peringkat altitud tinggi antara laluan 20 kilometer hingga 31 kilometer,” lapor agensi berita Xinhua.
“Peserta mengalami ketidakselesaan fizikal dan perubahan suhu secara mendadak.
“Sebahagian daripada 172 peserta dilaporkan hilang dan perlumbaan dihentikan serta merta,”, demikian menurut laporan itu.
Misi mencari dan menyelamat menjadi lebih sukar apabila suhu sekitar pergunungan menurun dengan pantas pada waktu malam.
“Sehingga pukul 3 pagi hari ini, seramai 151 peserta telah disahkan selamat manakala lima lagi dirawat akibat kecederaan ringan dirawat di hospital dan dalam keadaan stabil,” lapor Xinhua. – AFP