REMBAU – Seorang penduduk terkejut apabila terlihat seekor buaya tembaga sedang ‘bersantai’ di tebing Sungai Sawah Raja dekat sini petang tadi.
Penduduk berkenaan, Zainurin Zakaria, 54, berkata, dia sempat merakam gambar buaya tembaga sepanjang hampir dua meter berkenaan sebelum buaya tersebut masuk ke dalam sungai pada pukul 3 petang.
Menurutnya yang merupakan pesara guru, kira-kira tiga tahun lalu, dia ada ternampak kelibat buaya di sungai berkenaan namun hanyalah anak buaya dan masih kecil.
“Kali ini memang besar, saya rakam dan wawarkan pada penduduk terutamanya pada yang memasang jaring untuk lebih berhati-hati ketika berada di sungai kerana bimbang sekiranya buaya tembaga berkenaan masih ada di sungai tersebut.
“Mujur pada masa perintah kawalan pergerakan (PKP) ini tiada kaki pancing yang memancing di sini dan terdedah kepada bahaya kehadiran buaya tembaga ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Sawah Raja di sini hari ini.
Zainurin berkata, selain itu, sungai berkenaan juga menjadi laluan binatang ternakan penduduk termasuk kuda peliharaannya yang minum air di sungai berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun berkata, pihaknya akan menyiasat dakwaan berkenaan dan mengambil tindakan bersesuaian bagi keselamatan penduduk kampung.
Menurutnya, pihaknya semalam telah memasang perangkap buaya di Kampung Paya Lebar, Sungai Pilin susulan terdapat aduan mengenai kelibat buaya di kawasan berkenaan.
“Di Kampung Paya Lebar aduan yang kita terima ialah buaya sepanjang dua meter. Bagi aduan terbaru ini kita akan siasat untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Menurutnya, lokasi sungai berkenaan merupakan antara habitat buaya dan terletak berdekatan Sungai Timun, Lubuk China. – K! ONLINE