YANGON, Myanmar – Junta tentera Myanmar mengugut untuk membubarkan parti politik pimpinan pemimpin awam yang digulingkan, Aung San Suu Kyi berhubung dakwaan penipuan kertas undi dalam pilihan raya 2020, kata seorang pegawai.
Pengerusi Kesatuan Suruhanjaya Pilihan Raya, Thein Soe berkata kelmarin bahawa siasatan berhubung keputusan pilihan raya umum pada November 2020 hampir selesai.
“Apa patut kami buat dengan parti Liga Demokrasi Nasional (NLD) yang bertindak secara haram. Patutkah kami bubarkan parti itu atau mendakwa mereka yang terlibat dalam aktiviti haram ini sebagai pembelot? Kami akan membuat analisis dan akan bertindak,” katanya dalam satu siaran video di Facebook.
Suruhanjaya pilihan raya itu mengadakan pertemuan dengan parti-parti politik tempatan kelmarin untuk membincangkan perubahan kepada sistem pilihan raya tetapi wakil NLD tidak hadir.
Ketua junta, Min Aung Hlaing memberi justifikasi penipuan dalam pilihan raya pada November lalu sebagai sebab tentera menumbangkan kerajaan pimpinan Suu Kyi pada 1 Februari lalu. NLD menang besar dalam pilihan raya tersebut.
Pada Sabtu lalu, media tempatan melaporkan bahawa Junta telah membatalkan usia persaraan wajib untuk jeneral tentera. Langkah itu membolehkan Min Aung Hlaing terus mentadbir negara apabila usia mencapai 65 tahun pada Julai ini.
Myanmar huru-hara manakala ekonominya lumpuh sejak kudeta tersebut. Lebih 800 orang terbunuh ketika tentera bertindak mematahkan kebangkitan rakyat.