fbpx

Dovizioso bakal sertai Aprilia musim depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DOVIZIOSO diberikan peluang ketiga oleh Aprilia untuk menguji jentera RS-GP di Litar Misano bulan depan menyebabkan spekulasi dia menyertai pasukan itu musim depan bertiup kencang. – TWITTER MOTOGP

LONDON – Pasukan Aprilia memberi bayangan untuk mengikat kontrak tetap bersama pelumba veteran Itali, Andrea Dovizioso selepas memberi peluang kepadanya untuk me­nunggang jentera RS-GP pada sesi percubaan di Litar Misano pada bulan depan.

Ini bukanlah kali pertama Aprilia memberi peluang buat bekas pelumba Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) berusia 35 tahun itu diberi kepercayaan untuk menunggang jentera pasukan sebaliknya peluang ketiga selepas menunggang di Litar Jerez dan Litar Mugello sebelum ini.

Dovizioso yang kali terakhir bersaing secara kompetitif bersama pasukan Ducati tahun lalu mengakui sangat gembira de­ngan kepercayaan yang diberikan oleh pihak pengurusan Aprilia kerana memberi ruang untuk terus mempamerkan keupayaannya musim ini.

“Saya agak kecewa pada sesi ujian di Litar Mugello sebelum ini kerana hanya dapat menunggang jentera ketika cuaca tidak begitu baik dan kini saya harap percubaan ketiga di Litar Misano dapat berjalan dengan lancar.

“Secara jujur, saya anggap kerjasama ini memberi situasi ‘menang-menang’ buat kedua-dua pihak kerana saya masih lagi belum mengumumkan persaraan rasmi kerana cukup berminat untuk kembali ke arena MotoGP musim depan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Teknikal Aprilia, Romano Albesiano percaya kehadiran Dovizioso untuk menguji jentera RS-GP adalah keputusan tepat memandangkan dirinya merupakan pelumba berpengalaman yang boleh membantu memperbaiki kelemahan yang ada.

“Jentera RS-GP kami telah melalui proses penambahbaikan yang ketara sejak musim lepas tetapi ia masih belum cukup untuk memberi saingan kompetitif yang diharapkan. Justeru, saya harap kehadiran Dovizioso sedikit sebanyak dapat membantu jurutera kami untuk mencari dan memperbaiki kelemahan yang ada sebelum ini,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI