PUTRAJAYA – Kerajaan meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi tujuan menangani wabak Covid-19 sekali gus menjadikan keseluruhan peruntukan kepada KKM setakat ini mencecah RM1 bilion.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, peruntukan itu akan digunakan bagi meningkatkan keperluan KKM susulan peningkatan kes positif Covid-19 di seluruh negara akhir-akhir ini.
“Ia akan digunakan bagi meningkatkan kapasiti unit rawatan rapi (ICU) dan katil di hospital KKM, hospital pengajar universiti dan menyediakan hospital medan Kementerian Pertahanan.
“Peruntukan itu juga bagi membeli peralatan, ubat dan bahan guna habis yang berkaitan selain melantik pegawai perubatan secara kontrak membabitkan pesara,” katanya pada sidang akhbar khas secara dalam talian hari ini.
Tengku Zafrul berkata, setakat April lalu, sebanyak RM318 bilion sudah dibelanjakan KKM setakat April lalu.
“Walaupun dengan jumlah peruntukan baharu RM1 bilion ini, kami akan terus memantau keadaan dan berurusan dengan KKM dan kementerian-kementerian lain yang berkaitan jika memerlukan sumber tambahan,” katanya.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul menjelaskan bahawa negara bakal berdepan impak ekonomi lebih buruk jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dilaksanakan semula.
“Kami jangkakan pelaksanaan PKP 1.0 pada masa ini akan menyebabkan kehilangan pekerjaan yang lebih tinggi dengan pengangguran mencecah bakal mencecah satu juta pekerja.
“Sekiranya sektor ekonomi ditutup sekali lagi, kebanyakan perniagaan bakal bergulung tikar yang akan memberi impak secara langsung kepada pengangguran,” katanya. – K! ONLINE