JEMPOL – Sebuah kafe di Jalan Dato Komo, Bahau, di sini, dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 kerana gagal mematuhi prosedur operasi standart (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, kira-kira pukul 6.30 petang semalam, Team Task Force Pemantauan SOP PKP 3.0 telah ke premis berkenaan dan pemeriksaan ke atas premis dapati premis tidak mengikuti SOP MKN.
Menurutnya, pemilik premis gagal menyediakan kemudahan QR Code MySejahtera dan menyediakan buku pendaftaran kehadiran pelanggan, gagal menyediakan peralatan saringan suhu dan gagal menyediakan hand sanitizer.
“Susulan itu, pemilik premis iaitu lelaki berusia 60 tahun dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 atas kesalahan berkenaan.
“Kompaun dikeluarkan dibawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Chang Hook berkata, selain kompaun berkenaan, dua lagi individu di daerah berkenaan dikenakan kompaun masing-masing RM1,500 susulan didapati gagal mendaftar masuk ke premis perniagaan di sekitar Kawasan Perniagaan Bandar Seri Jempol kira-kira pukul 10.55 pagi.
Menurutnya, dua lelaki berusia 24 tahun dan 27 tahun itu gagal scan aplikasi mySejahtera di premis yang dimasuki dan dikenakan kompaun di bawah peraturan 16 Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021. – K! ONLINE