fbpx

Ambulans terbabas dua mangsa cedera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah ambulans terbabas masuk ke dalam longkang dalam kejadian kemalangan di hadapan perumahan JKDM, Jalan Bakri, Bakri 4, Muar, Johor hari ini. - FOTO: IHSAN BOMBA

MUAR – Seorang pembantu perubatan patah tangan manakala seorang lagi pesakit cedera di muka selepas ambulans dinaiki mereka terlibat kemalangan di hadapan perumahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Jalan Bakri, Batu 4, di sini, hari ini.

Komander Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar, Zuraimi Harun berkata, dalam kejadian pukul 12.20 tengah hari itu, pemandu ambulans bersama seorang lagi pesakit berusia 74 tahun dilaporkan selamat.

“Kemalangan itu membabitkan empat mangsa dimana dua daripada mereka merupakan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dua lagi adalah anak-beranak.

“Ibunya dilaporkan selamat manakala anaknya seorang wanita berumur 35 tahun cedera ringan di muka. Kesemua mangsa dibantu orang awam sebelum kami tiba ke lokasi,” katanya dalam kenyataan di sini.

Difahamkan ambulans terbabit dalam perjalanan membawa pesakit dari arah Bakri menuju ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini.

Sejurus tiba di lokasi kejadian ambulans tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas masuk ke dalam longkang.

Zuraimi berkata, seramai 11 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian menghulur bantuan kecemasan.

Keempat-empat mangsa dibawa ke HPSF untuk rawatan lanjut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI