DAPAT meraikan Aidilfitri bersama anak-anak serta cucu-cicit adalah satu kebahagiaan bagi mana-mana ibu bapa.
Walaupun lebaran kali ini disambut dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ibu bapa di kampung masih boleh meraikannya bersama anak-anak dalam norma baharu menerusi panggilan video.
Namun, suasana itu tidak dapat dinikmati ibu bapa yang dibiarkan sebatang kara di pusat jagaan orang tua.
Baru-baru ini tular di media sosial mengenai kisah seorang warga emas yang mendakwa dirinya dibiarkan di pusat jagaan orang tua oleh anak-anaknya.
Penulis sendiri pernah mengunjungi pusat itu bagi menyantuni penghuni yang ditinggalkan anak-anak mereka di situ.
Penulis telah berkenalan dengan seorang warga emas yang dikenali Pak Ya dan menyelami isi hatinya.
Menurutnya, dia reda dengan ketentuan takdir apabila terpaksa menghabiskan sisa-sisa hidupnya di pusat jagaan itu.
“Semua orang akan tua dan tidak akan mengetahui bagaimana penghujung hidupnya. Tetapi inilah pengujung hidup saya tanpa keluarga di sisi.
“Saya gembira berada di sini walaupun tidak dipedulikan. Mungkin ada silap yang saya tidak sedar ketika mendidik anak-anak sehingga mereka membiarkan saya di sini,” ujarnya.
Pak Ya yang memiliki lima orang anak memberitahu, dia memilih untuk tinggal di pusat jagaan orang tua setelah kematian isterinya lima tahun lalu.
Ujarnya, dia tidak mahu menjadi punca pergaduhan anak dan menantunya kerana terpaksa menguruskan dirinya yang uzur.
“Ini adalah keputusan saya untuk tinggal di sini. Tetapi apa yang saya terkilan adalah apabila anak-anak langsung tidak datang mengunjungi saya untuk bertanya khabar.
“Mereka juga tidak pernah datang mengambil saya untuk dibawa balik bagi meraikan hari raya bersama-sama,” bicaranya.
Pensyarah Kerja Sosial, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Khadijah Alavi berkata, isu warga emas yang tinggal di pusat jagaan orang tua sudah lama berlaku.
Menurutnya, ada warga emas yang memilih untuk tinggal di situ kerana dia tidak mempunyai waris untuk menjaganya, namun terdapat juga anak-anak yang menghantar ibu bapa mereka ke pusat jagaan orang tua atas alasan tertentu.
“Ada warga emas yang selesa untuk tinggal pusat jagaan kerana ada orang yang menjaganya dan boleh mengisi masa lapang dengan aktiviti keagamaan.
“Tetapi apa yang penting jika warga emas ditempatkan atau memilih untuk tinggal di pusat jagaan orang tua atau institusi pondok, anak-anak haruslah sentiasa menyantuni mereka dan jangan biarkan mereka begitu sahaja di sana,” katanya.
Ujarnya, jika kedua-duanya mempunyai hubungan yang baik, anak-anak pasti akan meluangkan masa untuk melawat ibu bapa mereka yang tinggal di situ.
“Sebaliknya, jika wujud konflik antara kedua-duanya dan anak-anak terasa hati, mereka pasti tidak akan mengunjungi ibu bapa,” katanya.
Khadijah berkata, anak adalah amanah Allah yang perlu dijaga dengan sebaiknya dan antara salah satu ujian untuk kita adalah melalui anak-anak sendiri.
“Biarpun kita membesarnya dengan penuh kasih sayang, tetapi di penghujung usia belum tentu mereka akan menjaga kita.
“Apa yang paling penting adalah sentiasa berdoa agar mereka menjaga kita sehingga penghujung usia,” katanya. -K! ONLINE