fbpx

PKP 3.0 akan diperketat libatkan sektor ekonomi, sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang sedang berkuat kuasa ketika ini akan diperketatkan lagi dengan penambahan sekatan yang lebih ketat ke atas sektor ekonomi dan sosial.

Keputusan itu dipersetujui sebulat suara dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN): Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, perincian mengenai sekatan tambahan itu akan diumumkan dalam sidang media Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob esok.

Kenyataan itu berkata, sidang khas hari ini meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan berhubung status terkini kes Covid-19 termasuk kadar kebolehjangkitan, kapasiti kesihatan setiap negeri dan cadangan tindakan bagi mengawal penularan jangkitan.

“Prosedur operasi standard (SOP) bagi PKP 3.0 telah diperketatkan termasuk larangan rentas negeri dan daerah serta sekatan bagi aktiviti sosial, sukan dan rekreasi serta persidangan dan mesyuarat secara bersemuka.

“Bagaimanapun penularan dalam komuniti yang semakin meningkat dan kewujudan varian baharu yang lebih agresif dengan kadar kebolehjangkitan tinggi menyebabkan usaha untuk melandaikan lengkung jangkitan mengambil masa yang lebih panjang,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, satu sidang khas MKN melibatkan kerajaan negeri diadakan hari ini dengan melibatkan kehadiran Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri.

Ia bagi mengambil kira situasi semasa di negeri masing-masing serta pandangan mereka terhadap usaha untuk mengekang penularan Covid-19.

Perdana Menteri pada 11 Mei lalu mengumumkan, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKP di seluruh negara dengan me­nguatkuasakan larangan rentas daerah dan rentas negeri kecuali untuk tujuan kecemasan, kesihatan, bekerja, ekonomi, janji temu vaksinasi dan pasangan jarak jauh.

Menerusi pelaksanaan PKP ini, Muhyiddin berkata, semua bentuk perhimpunan sosial termasuk kenduri-kendara, majlis perkahwinan dan pertunangan, majlis doa selamat dan tahlil, maj­lis makan malam, majlis sambutan hari jadi serta majlis-majlis rasmi kerajaan dan swasta adalah tidak dibenarkan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI