AGENSI kumpulan Stray Kids, JYP Entertainment mengambil tindakan lebih keras dalam memburu pesalah yang cuba memfitnah artis naungan mereka.
Agensi mahu pesalah yang keterlaluan dikenakan tindakan undang-undang.
Perkara itu sebenarnya sudah ditegaskan agensi terbabit sejak awal tahun ini apabila menyifatkan hak asasi dan privasi Stray Kids diceroboh, termasuk tuduhan palsu mengenai kumpulan kegilaan ramai itu.
“Sebelum ini kami ada memaklumkan akan mengambil tindakan undang-undang keras terhadap kes pencerobohan hak peribadi dan privasi mereka. Nampaknya masih ada yang mengulangi perbuatan berkenaan.
“Kesannya, artis kami menderita gangguan psikologi. Jadi, kami sedang mengumpul bukti dan kenyataan saksi mengenai individu yang berulang kali cuba menceroboh hak privasi mereka,” tulis JYP.
Pihak JYP juga menyeru semua peminat supaya tidak membuat percubaan menceroboh hak serta privasi artis naungan mereka.
Mereka juga meminta peminat untuk melaporkan setiap bukti kesalahan kepada agensi terbabit tanpa didedahkan identitinya.