PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju agar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memberi kelonggaran kepada syarikat penyedia khidmat telekomunikasi dan multimedia berhubung sumbangan kepada Kumpulan Wang Pemberian Perkhidmatan Sejagat (Kumpulan Wang PPS).
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kelonggaran itu membabitkan permohonan bagi menangguhkan atau membuat bayaran secara ansuran terhadap sumbangan yang wajib dibuat kepada Kumpulan PPS.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas menyedari pemegang lesen yang menyediakan perkhidmatan telekomunikasi turut terkesan akibat pandemik yang masih melanda negara.
“Sebanyak 34 syarikat telah memohon kelonggaran membayar sumbangan berkenaan akibat terkesan dengan pandemik Covid-19.
“Kelonggaran yang diberikan kepada syarikat-syarikat ini melibatkan jumlah sumbangan sebanyak RM910.4 juta bagi tempoh Januari tahun lalu hingga April lepas,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, Kumpulan Wang PPS yang dikendalikan MCMC bertujuan merapatkan jurang digital dalam kalangan masyarakat dengan menyediakan perkhidmatan telekomunikasi dan digital ke kawasan yang kurang mendapat capaian telekomunikasi.
Saifuddin berkata, Kumpulan Wang PPS mengumpul sumbangan wajib sebanyak enam peratus daripada syarikat perkhidmatan telekomunikasi yang mencatat keuntungan bersih melebihi RM2 juta
pada tahun kewangan yang dinilai,” katanya. – K! ONLINE