PETALING JAYA – Kontroversi yang menimpa Neelofa turut mendapat simpati oleh usahawan kosmetik, Nur Sajat apabila tampil menyuarakan sokongan terhadap selebriti tersebut.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik Nur Sajat dalam InstaStory miliknya, dia menyifatkan Neelofa sebagai seorang wanita yang baik dan kuat walaupun berdepan dengan pelbagai kecaman oleh masyarakat.
“Neelofa, wanita yang kuat walaupun banyak orang yang kecam beliau. Biasanya orang yang bersinar ini pastinya ramai yang dengki,” tulisnya dalam Instagram.
Menurut Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman lagi, dia tidak pernah melihat Neelofa mengata atau bercakap tentang keburukan orang lain.
“Saya tidak pernah tengok dia mengata orang malah dia hanya buat hal sendiri sahaja. Mengenali Neelofa, dia merupakan seorang wanita yang sangat baik,” katanya.
Dalam perkongsian tersebut, Nur Sajat turut mengenang saat dia mengikuti seorang rakannya yang juga merupakan seorang jurusolek artis ketika menata rias wajah bekas pemenang Dewi Remaja 2010 itu.
“Sis (Neelofa). Kami akan sentiasa memberi sokongan terhadap awak. Hidup Neelofa,” kata Nur Sajat.
Semalam, Kosmo! melaporkan bahawa Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd. Noor, 32, dan Haris mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Neelofa dikenakan jaminan sebanyak RM5,000 atas satu pertuduhan gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk ‘check in’.
Muhammad Haris pula dikenakan jaminan sebanyak RM10,000 atas dua pertuduhan iaitu gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk ‘check in’ atau menulis secara manual serta tidak memakai pelitup muka di tempat awam. Kes akan disebut semula pada 4 Jun depan.
Manakala Nur Sajat sehingga kini masih gagal dikesan walaupun waran tangkap ke atasnya telah dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah sejak 23 Februari lalu selepas diburu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Pada 6 Januari lalu, Sajat mengaku tidak bersalah di hadapan Mohammad Khalid atas pertuduhan berpakaian menyerupai wanita sehingga menyebabkan Agama Islam dipandang hina dalam majlis bacaan Yassin dan solat hajat. – K! ONLINE