fbpx

Kelantan kutip RM3.6 juta untuk bantu Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad (tengah) bersama replika cek berjumlah lebih RM3 juta yang berjaya dikutip menerusi Tabung Kemanusiaan Palestin di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu hari ini. - ZULHANIFA SIDEK

KOTA BHARU – Tabung Kemanusiaan Palestin yang digerakkan oleh kerajaan negeri Kelantan berjaya mengutip sumbangan sebanyak RM3,651,347.27 dalam tempoh seminggu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, sebanyak RM1 juta dikutip menerusi Tabung Amanah Kebajikan Darul Naim (Tabung Serambi Mekah), RM2.1 juta lagi melalui Pas Kelantan dan RM545,000 menerusi badan bukan kerajaan (NGO).

“Sumbangan itu adalah kurniaan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, derma oleh Exco kerajaan negeri, wakil rakyat, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelab Penyokong Kerajaan Negeri (BBC), anak syarikat kerajaan negeri dan orang awam termasuk anak Kelantan di perantauan.

“Jumlah kutipan itu akan diserahkan kepada Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya sebagai bantuan segera untuk rakyat Palestin,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Pas Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi dan Pengerusi Program #Aids4Palestine Negeri, Wan Roslan Wan Hamat.

Dalam pada itu Ahmad berkata, inisiatif bagi membantu umat Islam di Gaza menerusi Tabung Kemanusiaan Palestin itu akan disambung dalam fasa kedua yang bermula hari ini sehingga 11 Jun depan.

Katanya, sumbangan itu diharap dapat dimanfaatkan untuk membina prasarana seperti hospital, bekalan air dan elektrik, sekolah serta membeli ubat-ubatan dan keperluan lain rakyat negara itu.

“Meskipun gencatan senjata telah diputuskan sejak pagi tadi, namun bantuan kita untuk meringankan beban rakyat Palestin di sana tetap diteruskan.” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI