KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan kerajaan negeri akan menggunakan dua helikopter kendalian syarikat Sabah Air bagi menghantar bantuan bakul makanan kepada lebih 1,400 mangsa banjir di Tenom, Beaufort dan Sipitang hari ini.
Beliau berkata, perkhidmatan pengangkutan udara berkenaan digunakan bagi mempercepatkan penghantaran bantuan kepada mangsa terutama di kawasan terputus hubungan.
“Kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Bencana Negeri Sabah meluluskan 2,000 bakul makanan untuk diagihkan kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu masing-masing 1,000 bakul makanan di Tenom dan Beaufort termasuklah Membakut.
“Bantuan makanan ini akan diagihkan kepada mereka yang terputus perhubungan darat di beberapa kawasan di Tenom, manakala bagi Sipitang dan Keningau, bantuan makanan akan diurus Jawatankuasa Bencana Daerah masing-masing.
“Kerajaan akan mendapatkan bantuan pengangkutan udara pasukan keselamatan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya dalam kenyataan media sebentar tadi.
Terdahulu, seramai 1,447 mangsa banjir ditempatkan di 11 PPS di Tenom, Beaufort dan Sipitang, membabitkan 373 keluarga setakat pukul 9 pagi tadi.
Dalam pada itu, sebanyak 68 kampung di Beaufort manakala 33 kampung di Tenom, selain beberapa kampung di Keningau dan Sipitang.
Sementara itu, beberapa kawasan di Penampang dan Putatan turut dilanda banjir kilat pada Rabu lalu berpunca daripada hujan lebat lebih dua jam. – K! ONLINE