PETALING JAYA – Platform e-dagang kereta bersepadu terbesar di Asia Tenggara, Carsome berada pada landasan yang kukuh untuk mencatat jualan tahunan sebanyak AS$1 bilion (RM4.14 bilion) menjelang akhir suku kedua tahun ini.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Carsome, Eric Cheng berkata, bagi merealisasikan misi tersebut, syarikat juga dijangka melaksanakan beberapa transaksi penggabungan dan pengambilalihan utama.
“Kami optimis terhadap usaha tersebut bakal mengukuhkan lagi kedudukan syarikat sebagai peneraju pasaran dalam tempoh enam bulan akan datang,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Menurut Cheng, bagi meningkatkan lagi perkhidmatannya, Carsome telah menubuhkan pusat kecemerlangan (COE) data untuk merevolusikan industri kereta terpakai menerusi pendigitalan.
“Penggunaan data membolehkan Carsome menjana perniagaannya di setiap peringkat dan dalam masa yang sama bakal menyokong keputusan strategiknya.
“Ia juga akan membantu syarikat memahami latar belakang pengguna yang berbeza dan pengalaman mereka sebagai pelanggan, serta membolehkan pelaksanaan strategi pengambilalihan serta pembubaran inventori yang disokong oleh analisis data,” ujarnya.
Tambah beliau, setelah enam tahun beroperasi, syarikat kini memiliki banyak data yang merangkumi beratus buah kereta yang melalui platform Carsome setiap hari.
“Dengan penubuhan COE, kami kini bersedia melaksanakan penyelesaian sains data yang disertai matlamat untuk meningkatkan kecekapan operasi selain membantu pelanggan mendapatkan perkhidmatan berkualiti daripada Carsome,” terangnya.
Cheng menjelaskan, melalui perkhidmatan tersebut, penjual kereta terpakai di platform Carsome akan dapat menemui kereta yang paling relevan dan sedia untuk bidaan.
Tambah beliau, ia juga secara tidak langsung membolehkan lebih banyak bidaan dilakukan sekali gus meningkatkan peluang mereka memenangi bidaan tersebut.
“Bagi pengguna pula, mereka akan mendapat manfaat daripada segmen penentuan harga.
“Penjual kereta boleh mendapatkan harga cadangan yang disyorkan berdasarkan data ketika menjual kereta melalui Carsome.
“Mereka juga boleh membantu mereka mendapatkan harga jualan yang terbaik berdasarkan harga pasaran semasa dan seterusnya meningkatkan kemungkinan untuk menjual kereta melalui pembidaan,” ujarnya.