DUNIA hari ini tertumpu dengan tindakan kejam dan keganasan oleh rejim Zionis apabila melancarkan serangan ke atas penduduk Palestin sehingga mengakibatkan ratusan nyawa orang awam termasuk wanita
dan kanak-kanak turut terkorban.
Tindakan rejim Zionis membedil bumi Palestin membangkitkan suara penduduk di seluruh dunia dengan melancarkan sokongan ke atas penduduk Palestin melalui penyatuan solidariti dalam beberapa demonstrasi #FreePalestine.
Suara kutukan ke atas Israel untuk menekan pembebasan Palestin turut menarik perhatian golongan artis dan selebriti tempatan apabila tidak ketinggalan menzahirkan kemarahan, keprihatinan dan sokongan buat Palestin.
Rata-rata selebriti menyuarakan rasa sedih apabila ramai nyawa yang tidak berdosa turut terkorban akibat bom dan dibedil serangan udara oleh tentera Israel.
Berikut dikongsikan suara beberapa selebriti tempatan ke atas kekejaman rejim Zionis terhadap penduduk Gaza.
Heliza Helmi
Boleh sama-sama kita janji? Janji untuk bersatu hati, menjaga agama, perjuangkan isu ummah, saling mendoakan kebaikan, jauhi pertengkaran, menjaga adab dan akhlak. Menambah ilmu pengetahuan. Menjadi manusia bermanfaat dan semua perkara yang baik-baik. Bukan senang nak dapatkan keamanan dan kemerdekaan. Kita kena jaga sungguh-sungguh negara kita Malaysia. Begitu juga bantu negara lain yang sedang dahsyat dizalimi.
Diana Amir
Sebagaimana yang kita tahu, mereka (penduduk Palestin) diserang oleh Israel. Umat Islam diserang. Ini adalah tentang isu kemanusiaan. Kita semua rakyat Malaysia perlu memberikan kata-kata dan doa kepada sahabat-sahabat dan saudara kita di Palestin. Masjid itu (Al-Aqsa) adalah rumah kita untuk seluruh umat Islam. Kita perlu ikut jejak Nabi Muhammad SAW, ketika kita mengecam mereka, gunakan perkataan yang bijak dan bukan memaki hamun, tunjukkan kepada mereka kita adalah golongan yang berintelek. Kita ada Allah, Allah sudah janji yang Palestin akan bebas satu hari nanti. Ini masa ujian, Allah nak uji iman kita, siapa yang bersama Dia dan siapa pula yang berpura-pura dan munafik.
Haris Ismail
Semoga Allah SWT memberi bantuan kepada umat Palestin. Saudara kita. Insya-Allah kita semua pohon kekuatan dan keutuhan pada mereka seperti sabda Nabi Muhammad SAW yang berbunyi; “Tidak sempurna iman seseorang Muslim sehinggakan dia mencintai saudaranya atas apa yang dicintai olehnya”.
Apa yang kita mahukan ialah keamanan dan kesejahteraan untuk Palestin. Saya harap rakyat Malaysia dapat sama-sama tadah tangan, berdoa, buat solat hajat dan baca Qunut Nazilah. Inilah perantara kita dengan Allah. Antara waktu yang mujarab untuk berdoa adalah malam-malam awal Syawal, jadi kita gunakan masa ini untuk berdoa sebanyak mungkin untuk mereka.
Lisa Surihani
Apakah erti kemenangan Syawal di kala hak umat Islam ke atas Al-Aqsa digugat. Kita bergembira di hari raya, sebaliknya tentera Al-Qassam di Palestin bermati-matian mempertahankan hak umat Islam. Semoga Allah beri kita ilham dan kebijaksanaan untuk terus mendapatkan fakta yang betul tentang bagaimana kita boleh memberi impak kepada kepentingan Israel, untuk memberi tekanan diplomatik yang betul bagi membolehkan Palestin beroleh keamanan.
Neelofa
Kenapa kita terus-terusan untuk melihat situasi seperti ini (peperangan) terus berlaku? Atas alasan apa untuk menyaksikan nyawa yang tidak berdosa hilang tanpa belas dan kasihan? Sama-sama kita berdoa supaya keamanan berpihak pada saudara seagama kita di sana (Gaza). Sekadar peringatan, orang Islam adalah saudara seagama kita.
Apa yang terjadi di Palestin, kita kena rasakannya seolah-olah ia terjadi kepada kita sendiri. Kalau kita lihat gambar dan video dan kita rasa geram, marah dan sedih, itu tandanya ada iman dalam hati kita. Kita tak dituntut sertai perang di sana tapi kita boleh gunakan media sosial untuk lancarkan perang saraf dan kita kena guna medium ini dengan bijak.