PUTRAJAYA – Jabatan Perangkaan (DOSM) menangguhkan operasi Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020) secara bersemuka sehingga ke suatu tarikh baru yang akan dimaklumkan kelak.
Pesuruhjaya Banci, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, keputusan itu diambil dalam menyokong usaha kerajaan membendung dan memutuskan rantaian penularan jangkitan Covid-19.
Menurutnya, ketika ini Banci Malaysia 2020 secara bersemuka sedang dijalankan di seluruh negara sehingga 30 Jun depan.
“Susulan peningkatan penularan Covid-19 dalam negara, DOSM telah menangguhkan operasi Banci Malaysia secara bersemuka sehingga ke suatu tarikh baru yang akan dimaklumkan kelak.
“Namun begitu, Banci Dalam Talian (e-Census) dan pengumpulan data menggunakan kaedah Computer Assisted Telephone Interview (CATI) masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Mohd Uzir berkata, berdasarkan respons yang diterima sehingga kini, seramai 19.2 juta atau 58.8 peratus daripada anggaran 32.7 juta penduduk Malaysia pada tahun 2020 telah direkodkan dalam Banci Malaysia 2020. -K! ONLINE