KOTA BHARU – Seorang pemandu lori dihukum penjara dua tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan bunuh terhadap bapanya sendiri dua bulan lalu.
Tertuduh, Tuan Mohamad Hafiz Tuan Haris,24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd. Izuddin Mohd. Shukri.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah dengan menakutkan untuk membunuh bapanya, Tuan Haris Tuan Kub, 58.
Kesalahan itu dilakukan oleh tertuduh di sebuah rumah di Kampung Tempoyak, Kadok di sini kira-kira pukul 11 pagi pada 27 Mac lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ariyani Mohd. Amin.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah mengugut bapanya selepas berlaku pergaduhan antara mereka.
Bapanya turut menasihati Tuan Mohamad Hafiz agar tidak berkawan dengan beberapa individu selain dia juga dipercayai meminta wang sebanyak RM100 daripada orang tuanya itu.
Sebelum kejadian, tertuduh mengamuk dengan memecahkan barangan di dalam rumah sebelum mengugut untuk membunuh bapanya.
Bimbang dengan ugutan itu, bapa tertuduh telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut. – K! ONLINE.