JOHOR BAHRU – Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) memperkuatkan jentera pasukan dengan membawa masuk pemain baharu, Shane Lowry secara percuma.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Pengarah Sukan Kelab Bola Sepak JDT, Martin Prest menerusi hantaran di Facebook rasmi kelab, Johor Southern Tigers hari ini.
Bagaimanapun, ia tidak dinyatakan dengan terperinci bahawa pemain kelahiran Australia itu ditandatangani Harimau Selatan untuk berapa musim.
Dalam pada itu, pemilik kelab JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi laman sosialnya memberi bayangan bahawa Lowry akan bergandingan Mauricio Dos Santos di posisi bek tengah bagi kancah Liga Juara-juara Asia musim ini.
Katanya, apabila pusingan kedua Liga Super bersambung nanti, Lowry akan menjadi sokongan buat Mauricio sekiranya ditimpa kecederaan.
“Dengan cara itu, jika ada apa-apa berlaku atau kecederaan, kita masih ada pemain pertahanan import,” katanya menerusi laman sosialnya hari ini.
Kelab terakhir diwakili pemain berusia 31 tahun itu ialah kelab Al-Ahli yang beraksi di Qatar Stars League sejak sejak 2019 sebelum kontraknya tamat pada tahun ini.
Bersama kelab yang berpangkalan di Doha itu, pemain pertahanan berkenaan membuat 36 penampilan dan berjaya merekodkan satu jaringan sebelum berpindah menyertai JDT secara percuma.-K! ONLINE