fbpx

Kanak-kanak perempuan cedera ditikam bapa tiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

ISKANDAR PUTERI – Seorang kanak-kanak perempuan cedera selepas disyaki ditikam bapa tirinya dalam satu kejadian di sebuah rumah di Kangkar Pulai di sini pada Sabtu lalu.

Mangsa yang berusia lima tahun itu mengalami kecederaan pada bahagian perut kiri selepas ditikam suspek berusia 38 tahun menggunakan pisau panjang.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian menimpa kanak-kanak malang itu dilaporkan seorang doktor sebuah hospital di daerah ini kira-kira pukul 9 pagi, 15 Mei lalu.

“Seorang doktor yang bertugas di sebuah hospital di daerah Iskandar Puteri telah memaklumkan terdapat pesakit seorang kanak-kanak perempuan berumur lima tahun mendapatkan rawatan di hospital tersebut kerana mengalami kecederaan seperti tusukan benda tajam di bahagian perut sebelah kiri.

“Mangsa telah dihantar ke hospital oleh ibunya sendiri yang berusia 37 tahun. Kejadian berlaku di rumah mereka di kawasan Kangkar Pulai, Johor,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata, hasil soal siasat awal ke atas kanak-kanak tersebut sebelum pembedahan dijalankan, mangsa memberitahu dia dicederakan oleh pak ciknya sendiri.

Katanya, susulan itu, polis menahan seorang lelaki yang juga bapa tiri kepada mangsa pada hari yang sama di rumah yang didiami keluarga itu.

“Suspek tidak bekerja dan pemegang kad orang kelainan upaya (OKU) selain semakan mendapati suspek pernah mendapat rawatan sakit mental di Hospital Sultanah Aminah (HSA) sejak tahun 2014.

“Suspek juga masih mengambil ubat yang dibekalkan oleh pihak hospital. Polis kemudiannya membawa lelaki itu ke HSA untuk pemeriksaan lanjut,”katanya.

Jelas beliau, mangsa kini berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan dan masih berada dalam wad di hospital untuk rawatan lanjut.

Ujarnya, polis merampas sebilah pisau panjang yang berukuran lebih kurang 29.5 sentimetsr beserta hulu yang berada di rumah tersebut.

Kes disiasat dibawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI