fbpx

Datin, 4 ahli sindiket didakwa edar 14.9 kg syabu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Miss Rohanee (dua dari kiri) bersama empat lagi ahli sindiket didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini. FOTO - ZULHANIFA SIDEK

KOTA BHARU – Lima ahli sindiket termasuk seorang wanita bergelar Datin yang mengusahakan perniagaan kosmetik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine atau syabu seberat 14.9 kilogram (kg) dua minggu lalu.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan terhadap Datin Miss Rohanee Doloh, 47, dan adiknya Miss Silawati, 26, bersama Mohd. Nasrul Hafiszan Mat Nasir, 36, Ahmad Maziri Mazlan, 26 serta Wan Mohamad Syariman Maula Wan Mohd. Nadzir, 24 dihadapan Majistret Mohd. Izuddin Mohd. Shukri.

Mengikut pertuduhan, kelima-lima tertuduh didakwa telah mengedar dadah berbahaya disyaki jenis methamphetamine dengan berat kasar sebanyak 14.989 kg.

Kesalahan itu dilakukan oleh mereka di tepi jalan di hadapan Sekolah Kebangsaan Mulong 1 kira-kira pukul 4 petang pada 8 Mei lalu.

Kelima-lima tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Tengku Shazuan Tengku Shariffudin dan Nur Alyaa Mohd. Zain.

Mahkamah menetapkan tarikh 25 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Akhbar Kosmo! sebelum ini melaporkan, polis menahan seorang wanita warga Thailand bergelar Datin yang dipercayai menjadi dalang dalam kegiatan sindiket pengedaran dadah jenis pil kuda dan syabu bernilai RM2.34 juta yang berlindung di sebalik peniagaan kosmetik miliknya.

Rampasan 180,000 biji pil kuda dan 14.9 kilogram (kg) syabu itu dilakukan di lima lokasi dalam tiga daerah iaitu Kota Bharu, Tanah Merah dan Pasir Mas selama dua hari bermula 7 hingga 8 Mei lalu. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI