fbpx

Kerajaan gagal lucut wang RM114 juta milik Najib, UMNO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Datuk Seri Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR – Kerajaan gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini untuk melucut hak wang tunai yang didakwa milik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan UMNO berjumlah RM114 juta yang disita dari sebuah premis milik Obyu Holdings Sdn. Bhd. tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas menolak permohonan pendakwaan selaku pemohon dalam pelucuthakan kes itu.

Bagaimanapun status quo wang itu masih menjadi tanda tanya apabila pada prosiding hari ini kerana hakim itu tidak membuat sebarang perintah sama ada wang itu dikembalikan kepada pemilik atau disimpan oleh kerajaan.

Dalam penghakimannya, hakim itu berkata, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa wang yang dirampas itu diperoleh daripada kesalahan pecah amanah.

“Pegawai penyiasat dalam kes ini juga gagal membuktikan wang yang diperoleh berasal dari hasil aktiviti pengubahan wang haram,” kata hakim itu.

Dalam prosiding itu, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi manakala peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Tania Scivetti masing-masing mewakili Najib dan UMNO.

Pada 2019, pendakwaan memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings untuk melucut hak barangan merangkumi 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 aksesori jam tangan, 234 pasang cermin mata serta 306 beg tangan dan wang tunai berjumlah  RM114,164,393.44.

UMNO dan Najib merupakan pihak ketiga dalam permohonan itu. Mana-mana pihak ketiga yang mendakwa mempunyai kepentingan ke atas barangan yang dirampas boleh hadir di mahkamah untuk mengemukakan alasan mengapa barangan itu tidak boleh dilucut hak kepada kerajaan. K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI