KUALA LUMPUR – Seramai 12 suspek yang sebelum ini disyaki terbabit dalam kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd. Kassim berkemungkinan dituduh mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, perkara itu antara cadangan dalam kertas siasatan kes tersebut yang dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara pada 23 Julai lalu.
Menurut beliau, cadangan lain yang turut dikemukakan adalah membuka semula inkues untuk siasatan sekiranya dipersetujui Peguam Negara.
“Siri tindakan ini susulan keputusan yang dicapai Mahkamah Koroner Shah Alam pada 27 September lalu yang memutuskan punca kematian Muhammad Adib bukan disebabkan kemalangan, tetapi perbuatan jenayah oleh dua atau lebih suspek.
“Berdasarkan keputusan itu, polis menjalankan siasatan selari arahan Jabatan Peguam Negara dan kumpulkan bukti yang ada untuk kemukakan semula kepada pihak pendakwaan,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja bagi Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Muhammad Adib meninggal dunia selepas mengalami parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.
Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu. – K! ONLINE