GEORGE TOWN – Masjid tertua di negeri ini, Masjid Kapitan Keling di Jalan Buckingham di sini bermandikan cahaya lampu berwarna bendera Palestin sejak malam tadi sebagai tanda solidariti menyokong perjuangan rakyat negara itu berjuang menentang kezaliman Zionis.
Setiausaha Kariah Masjid Kapitan Keling, Mohamed Rizwan Abdul Ghafoor Khan berkata, usaha berkenaan adalah inisiatif Jawatankuasa Kariah Masjid Kapitan Keling untuk memberi kesedaran kepada orang ramai terhadap apa yang berlaku di Palestin.
“Lampu berwarna bendera Palestin ini akan dipasang bermula pukul 7 malam sehingga waktu Subuh.
“Lampu ini akan dipasang setiap hari sehingga tentera Zionis menghentikan kekejaman mereka ke atas rakyat Palestin,” katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, beberapa mercu tanda lain seperti Kompleks Tuna Abdul Razak (Komtar) di sini, Menara Kuala Lumpur, Menara Alor Setar di Kedah dan jambatan angkat atau ‘drawbridge’ di Terengganu turut dilimpahi cahaya warna bendera Palestin sebagai tanda solidariti terhadap rakyat negara berkenaan yang menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis Israel. – K! ONLINE