PETALING JAYA – Satu kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat (AS) menunjukkan pertukaran daripada rokok biasa kepada produk vape nikotin berpotensi untuk menyelamatkan nyawa perokok dan melanjutkan jangka hayat mereka.
Kajian tersebut diterbitkan dalam jurnal Population Health Metrics, membabitkan penyelidik dari Pusat Kanser Komprehensif Lombardi, Georgetown University; Pusat Pengajian Kesihatan Awam, Yale University; dan Jabatan Epidemiologi, University of Michigan.
Ia dibiayai oleh Institut Kanser Kebangsaan, yang merupakan sebahagian daripada Institut Kesihatan Kebangsaan, dan juga pusat Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) bagi Produk Tembakau di AS.
Para penyelidik telah menilai ‘kematian dan kehilangan jangka hayat yang berkaitan’ di bawah senario yang mana produk vape nikotin telah digunakan oleh perokok pada kadar berasaskan data AS, serta satu lagi senario yang mana produk tersebut tidak digunakan.
Model dinamakan Model Merokok dan Vape atau Smoking and Vaping Model (SAVM) itu turut melalui analisis kepekaan yang teliti.
“Berasaskan trend penggunaan produk vape bernikotin semasa dan penggunaannya sebagai pengganti rokok biasa, sebanyak 1.8 juta kematian dapat dicegah dan 38.9 juta tahun jangka hayat dapat ditambah sepanjang tempoh 47 tahun,” menurut kajian berkenaan.
Ia mengukuhkan lagi bukti tentang manfaat kesihatan yang diperolehi apabila perokok bertukar kepada vape.
Manfaat ini kian mendapat perhatian di banyak negara barat sebagai alternatif lebih baik berbanding rokok biasa.
Malah, penyelidikan tersebut memetik pelbagai kajian bebas berhubung bagaimana produk vape bernikotin semakin banyak digunakan oleh perokok untuk berhenti merokok dengan tahap keberkesanan yang terbukti, selain manfaat kesihatannya memandangkan produk vape mengandungi hanya sejumlah kecil bahan toksik berbanding rokok biasa.
Kajian-kajian yang dipetik, antara lain, diterbitkan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS, Jurnal Perubatan British (BMJ), Jurnal Akademik Oxford dan Annals of Internal Medicine.
Kajian yang diketuai Georgetown University itu bagaimanapun mengakui terdapat kekurangan bukti empirikal tentang kesan kesihatan jangka panjang penggunaan vape bernikotin.
“Manfaat kesihatan awam boleh dipertingkatkan dengan dasar-dasar lebih kukuh yang bertujuan mengurangkan bilangan orang yang mula merokok dan menggalakkan lebih ramai orang yang berhenti merokok,” katanya.
Penyelidik menambah, penggubal dasar, penyelidik dan pihak berkepentingan dari negara-negara lain boleh mengguna pakai SAVM di negara masing-masing untuk memahami kesan penggunaan produk vape nikotin terhadap kesihatan awam.