fbpx

Banjir di Sabah semakin buruk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota keselamatan mula melaksanakan operasi pemindahan mangsa banjir membabitkan beberapa daerah di Sabah sejak malam tadi. - Foto: Ihsan APM

BEAUFORT – Jumlah mangsa banjir di Sabah kembali meningkat pagi ini apabila hujan berterusan sejak petang semalam mengakibatkan banyak kampung membabitkan tiga daerah dinaiki air.

Malah, situasi itu turut menyebabkan kebanyakan kampung di daerah Beaufort yang sebelum ini sudah pulih kembali digenangi banjir.

Setakat pukul 8 pagi tadi, seramai 124 orang mangsa banjir melibatkan 29 keluarga di daerah Beaufort, Tenom dan Keningau sudah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah berkata, seramai 57 mangsa daripada 18 keluarga kini sudah ditempatkan di PPS Dewan Datuk Seri Panglima Dun Banir sekitar awal pagi tadi.

“Bilangan penduduk masih dipindahkan di PPS Rumah Kebudayaan Kalang Kanar, Tenom kekal 26 orang melibatkan lima keluarga sejak beberapa hari ini.

“Bagaimanapun, kita sudah memindahkan 41 orang mangsa banjir membabitkan enam keluarga ke PPS Dewan Kampung Pauh, Sook ekoran beberapa kampung di daerah Keningau mula dinaiki air malam tadi.

“Proses pemindahan masih dilaksanakan di semua kawasan terjejas ketika ini dan jumlah mangsa terjejas dijangka akan bertambah dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam pada itu, jurucakap APM menyatakan jumlah keseluruhan mangsa banjir ketika ini membabitkan penduduk di 67 buah kampung di ketiga-tiga daerah.

Terdahulu, semua mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Datuk Seri Panglima Dun Banir sudah dibenarkan pulang sekali gus PPS terbabit ditutup sekitar pukul 2.30 petang semalam. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI