PETALING JAYA – Nestlé (Malaysia) Bhd. (Nestle) telah berpindah ke ibu pejabat korporat baharunya di 1 Powerhouse, Bandar Utama dari lokasi sebelum iaitu di Surian Tower, Mutiara Damansara.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Juan Aranols berkata, tujuan perpindahan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan Kumpulan untuk melangkah ke arah budaya kerja masa depan menerusi reka bentuk tempat kerja dengan tujuan khusus dan turut menerapkan persekitaran selamat daripada pandemik Covid-19.
Menurutnya, pejabat dua tingkat baharu yang meliputi kawasan seluas 73,000 kaki persegi (6,698 meter persegi) itu direka untuk menggalakkan tahap ketelusan dan keterlibatan lebih tinggi, menggalakkan komunikasi dan kerjasama antara bahagian serta memenuhi permintaan tempat kerja yang fleksibel.
“Langkah ini mencerminkan usaha Kumpulan untuk terus berkembang dan menyesuaikan kakitangan bekerja dalam persekitaran lebih fleksibel dan keperluan mewujudkan keseimbangan antara kehidupan peribadi dan tuntutan kerja.
“Kami telah menerapkan prinsip bekerja dalam kaedah hibrid dan disesuaikan dalam reka bentuk ruang kerja yang serba moden, berfungsi, mudah disesuaikan dan juga pintar.
“Suasana ini akan meningkatkan kerjasama dan kesalinghubungan antara anggota pasukan di semua jabatan, lantas mewujudkan persekitaran yang mendorong pemikiran inovatif serta kreatif di seluruh organisasi,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Aranols menerangkan, pejabat baharu Nestle yang berkonsepkan ruang terbuka itu menawarkan sistem meja kongsian yang digunakan untuk menyediakan susun atur tempat duduk yang fleksibel.
Reka bentuk ergonomi juga diterapkan dengan meja yang boleh disesuaikan ketinggiannya dan tangga yang menghubungkan dua aras untuk menggalakkan kakitangan kekal aktif dan cergas.
Selain itu, pejabat tersebut turut menempatkan taman bumbung berteres, ruang perbincangan berasingan dengan sudut kopi bagi memudahkan kakitangan menjamu selera dalam suasana santai dan merihatkan minda.
Pejabat berkenaan turut dilengkapi dengan studio kandungan canggih dengan skrin hijau untuk penciptaan kandungan secara dalaman.
“Lebih penting, reka bentuk tempat kerja baharu ini mematuhi prosedur operasi standard Covid-19, bagi memastikan kakitangan kekal selamat sambil mematuhi sepenuhnya garis panduan kerajaan di bawah PKP 3.0,” tambah beliau.