fbpx

Usah jadi influencer kalau langgar SOP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salah seorang instafamous yang dikompaun baru-baru ini.
LUQMAN RIDHWAN MOHD. NOR, WARTAWAN EKSEKUTIF

Kemunculan pensohor, selebriti ataupun influencer di media sosial adalah satu fenomena baharu.

Bagi yang mahu mencuba, sudah tentu langkah pertama adalah memilih media sosial yang bersesuaian seperti Facebook, Instagram, TikTok atau Twitter.

Begitu banyak kandungan ditawarkan, baik berkenaan fesyen, masakan, permainan video, ulasan filem atau muzik, pendidikan dan banyak lagi yang terdapat di media sosial pada hari ini.

Sudah tentu, bagi mereka yang berjaya, tingkah laku dipamer dan pertuturan diucapkan secara tidak langsung, ataupun langsung, akan memberi kesan kepada para pengikutnya.

Pada tahun ini sahaja begitu banyak contoh perlanggaran undang-undang yang dilakukan oleh pensohor media sosial.

Salah satunya dilakukan oleh Iram Naz Hafiz Sabir Muhammed, 25, dan suaminya, Azharique Shah Abdul Jalil, 23.

Mereka masing-masing dipenjara sehari dan denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada April lalu.

Kesalahan mereka kerana memberi maklumat palsu bagi mendapatkan kebenaran rentas negeri untuk berbulan madu.

Seorang instafamous pula dikompaun RM1,500 pada awal bulan ini kerana tidak memakai pelitup muka dalam salah satu adegan raya dirakamnya bersama pihak berkuasa di Bukit Rimau, Presint 3, Putrajaya.

Paling popular kesalahan meli­batkan Neelofa. Baru-baru ini, keluarga personaliti itu dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields kerana dikatakan melanggar SOP PKP pada hari raya.

Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ahmad Farami Abdul Karim berkata, influencer yang melanggar undang-undang menunjukkan me­reka tiada kesedaran etika, justeru tidak layak menerima gelaran tersebut.

Katanya, masyarakat perlu memboikot influencer yang me­nunjukkan contoh tidak baik.

“Masyarakat pula perlu ada kecelikan media, sensitif terhadap adab serta moral pada influen­cer, tahu memberikan sokongan kepada mereka yang bermanfaat dengan yang berperi­laku me­nyimpang,” katanya.

Ujarnya, influencer mempunyai tanggungjawab sosial kepada masyarakat dan sedar diri bahawa mereka diperhatikan pengikut yang jumlahnya boleh mencecah jutaan orang.

“Sebagai influencer, sepatut­nya kuasa selebriti mereka diguna untuk seru masyarakat patuh undang-undang dan tidak langgar SOP. Guna kedudukan dan populariti untuk didik masyarakat berbudaya positif.

“Pendek kata, advokasi ke arah kebaikan, walaupun media sosial mereka digunakan untuk jualan produk atau mempromosi jenama tertentu,” katanya.

Bagi pensohor media sosial, Faizdickie atau nama sebenarnya Mohd. Nasrul Faiz Abu Azal, 33, terdapat perbezaan jelas antara personaliti dan influencer media sosial.

Sebagai contoh, katanya, kandungan ditawarkan perso­naliti media sosial kebiasaannya berunsurkan hiburan ringan dan tidak banyak variasi kerana ia lebih ke arah peribadi seperti selfie atau pakaian dipakai pada hari gambar dimuat naik (OOTD).

“Saya juga begitu, dahulu lebih kepada parodi tapi lama-lama kita berevolusi kepada sesuatu yang lebih matang dan bermanfaat.

“Apabila kandungan yang dibuat itu dapat bagi impak kepada orang lain, barulah individu tersebut boleh berevolusi daripada sekadar bergelar personaliti media sosial kepada seorang influencer,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI