fbpx

Padah baling mercun ke arah anggota polis di SJR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah motosikal dan mercun bola yang dirampas ketika penahanan kedua-dua suspek.

PETALING JAYA – Tindakan dua remaja lelaki melontar mercun jenis bola ke arah anggota polis yang bertugas di Sekatan Jalan Raya (SJR) mengundang padah selepas mereka ditahan ketika cuba melarikan diri.

Dalam kejadian pada pukul 10.30 malam semalam itu berlaku di SJR Lebuh Raya Karak sebelum Plaza Tol Gombak menghala ke Bentong.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kedua-dua lelaki berusia 16 dan 20 tahun berkenaan menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha LC 135 ketika kejadian.

“Suspek telah menghentikan motosikal di bahu jalan berhampiran SJR sebelum salah seorang remaja berkenaan melontar mercun bola ke arah anggota polis bertugas.

“Mereka kemudian melarikan diri dan anggota polis telah bertindak mengejar suspek sebelum kedua-dua mereka berjaya ditahan tidak jauh dari lokasi SJR,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, hasil siasatan mendapati tindakan suspek melontar mercun ke arah anggota polis adalah disebabkan tanpa niat dan bersahaja.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah dan tiada rekod jenayah.

“Polis turut merampas 14 biji mercun bola ketika penahanan kedua-dua lelaki berkenaan,” ujarnya.

Tambahnya, kedua-dua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang dan telah dibenarkan tahan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga Jumaat.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 3(5) Akta Kesalahan Kecil 1955. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI