JITRA – Penduduk di Napoh dekat sini mendakwa Restoran Nasi Kandar Salleh yang dikenal pasti lokasi penularan virus Covid-19 bagi Kluster PUI Sivagangga menjadi tempat persinggahan pemandu kenderaan berat.
Mereka mendakwa, rata-rata pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan terutama pemandu kenderaan berat yang berulang-alik ke kawasan Bukit Kayu Hitam dekat sini akan singgah di situ untuk menikmati nasi kandar kerana lokasinya yang strategik.
Keadaan itu menimbulkan persoalan selepas kedai berkenaan menjadi lokasi penyebaran Covid-19 sekali gus dikhuatiri pelanggan yang makan di situ tanpa sedar turut dijangkiti.
Akhbar semalam melaporkan kedai itu juga tidak menggunakan aplikasi MySejahtera selain tidak merekodkan kehadiran pelanggan.
Kedai makan itu terletak di tepi lebuh raya selain berhadapan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Napoh.
Tinjauan mendapati kedai berkenaan tidak lagi beroperasi dan dilekatkan Notis Perintah Tutup Premis bermula 27 Julai lalu.
Penduduk Kampung Kubang Betong, Muhammad Faris Md. Yusoff, 29, berkata, kedai makan itu biasanya dikunjungi pengguna lebuh raya yang mahu ke Bukit Kayu Hitam atau ke selatan.
“Kedai itu dibuka sejak 2008, walau bagaimanapun saya dan ahli keluarga tidak pernah makan di kedai tersebut,” dakwanya ketika ditemui di sini.
Seorang lagi penduduk, Rokiah Awang, 54, berkata, kedai itu biasanya dikunjungi pemandu kenderaan berat.
“Penduduk setempat jarang pergi ke kedai tersebut kerana banyak lagi pilihan kedai makan di sini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Kosmo! turut membuat tinjauan di Klinik Kesihatan Napoh yang menjadi lokasi saringan untuk kluster tersebut.
Setakat pukul 9 malam tadi, video yang disiarkan secara langsung di laman web Kosmo! Itu mendapat lebih 39,000 tontonan.
Dalam perkembangan berkaitan, seramai 245 penduduk Megat Dewa di Mukim Ah di daerah Kubang Pasu telah menjalani saringan Covid-19 bagi kluster tersebut.
Saringan bermula pada pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari itu diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Megat Dewa di Kodiang dekat sini.
Seorang penduduk, Roslan Awang Kechil, 51, berkata, dia melakukan saringan bersama isteri serta anaknya.
“Kami datang selepas rumah individu disahkan positif Covid-19 berada di kawasan Megat Dewa. Jarak rumah kami kira-kira 2 kilometer,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Rahmah Ahmad, 63, membuat saringan kerana tinggal di kawasan sama.
“Saya perlu lebih berhati-hati kerana usia telah lanjut,” katanya. – K! ONLINE