fbpx

Malaysia pilihan keempat ekspatriat antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Malaysia diiktiraf sebagai negara keempat terbaik di dunia untuk para ekspatriat menetap dan bekerja berdasarkan kaji selidik Expat Insider 2021. – AFP

MUNICH, JERMAN – Malaysia diiktiraf sebagai negara keempat terbaik di dunia untuk para ekspatriat menetap dan bekerja berdasarkan kos sara hidup, kualiti kehidupan dan kemudahan untuk menetap, lapor portal Daily Mail Online kelmarin.

Hasil kaji selidik Expat Insider 2021 yang dikeluarkan oleh InterNations itu turut mendapati Taiwan kekal di tempat pertama bagi tahun ketiga berturut-turut dan diikuti dengan Mexico, Costa Roca serta Portugal.

InterNations merupakan sebuah syarikat jaringan ekspatriat yang berpangkalan di Munich.

Taiwan kekal menjadi pilihan utama ekspatriat yang didorong oleh jaminan keselamatan pekerjaan dan keadaan ekonomi tempatan yang stabil.

“Sistem penjagaan kesihatan Taiwan yang sama rata dan tidak membanding-bandingkan dalam kelompok tertentu menjadikan negara itu pilihan utama ekspatriat antarabangsa,” ujar seorang ekspatriat dari Chile.

Sementara itu, Mexico dan Costa Rica berada pada tempat kedua dan ketiga sebagai lokasi terbaik untuk menetap dan bekerja.

Ini kerana kedua-dua negara itu memiliki kelebihan dalam menyediakan penempatan atau kediaman tanpa melalui prosedur yang rumit.

Menurut ekspatriat, amat mudah buat mereka mencari jaringan kenalan baharu di kedua-dua negara itu, sesuatu yang agak sukar untuk dilakukan sekiranya berpindah ke tempat baharu. 

Manakala Portugal pula berada di tempat kelima dengan para ekspatriat mengakui bahawa mereka menyukai iklim dan cuacanya selain terdapat pelbagai pilihan hiburan tempatan.

Dalam pada itu, Kuwait, Itali, Afrika Selatan dan India dipilih sebagai destinasi paling teruk untuk memulakan kerjaya di luar negara.

Berdasarkan pengalaman ekspatriat yang pernah menetap di sana, penduduk di ketiga-tiga negara itu sangat tidak mesra.

Kebanyakan ekspatriat mengakui sentiasa diingatkan oleh penduduk tempatan bahawa mereka berada di negara asing dan kehadiran golongan itu tidak begitu dialu-alukan.

Selain itu, faktor tidak berpuas hati dengan keadaan kewangan, kesukaran mendapatkan peluang pekerjaan, keadaan infrastruktur yang mundur serta ketidaktentuan keadaan keselamatan negara turut meletakkan empat negara itu di tempat tercorot. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI