PETALING JAYA – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor bermula Jumaat ini sehingga 3 Jun depan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga kini, sebanyak 49 kes positif Covid-19 telah direkodkan hasil daripada 346 ujian saringan yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
Katanya, saringan dilakukan melibatkan penghuni Kolej Datin Seri Endon, Kolej Tun Hussein Onn, Kolej Tun Dr Ismail, Kolej 9 dan 10 serta Pusat Kesihatan.
“KKM juga melaporkan kadar positiviti yang tinggi iaitu 14.2 peratus serta taburan kes positif serta kontak rapat telah menular di beberapa kolej lain.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di UTM Skudai, Johor berkuat kuasa 21 Mei sehingga 3 Jun 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – K! ONLINE