TELUK INTAN – Taktik licik dua lelaki menyeludup daun ketum dalam lori peralatan pembinaan untuk dijual di Kuala Lumpur terbongkar apabila ditahan dalam sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 30, Jalan Teluk Intan-Bidor dekat Chui Chak di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pemandu dan kelindan lori masing-masing berusia 43 tahun itu ditahan oleh petugas SJR pada pukul 11.30 malam, Ahad lalu.
Katanya, pemeriksaan dalam kenderaan tersebut menjumpai 18 guni bertulis benih padi sah berisi daun-daun disyaki daun ketum.
“Selain itu, kita juga menjumpai tiga guni bertulis nuklear Malaysia dan Malaysia di mana turut berisi daun disyaki ketum.
“Jumlah berat 21 guni daun ketum itu dianggarkan seberat 152 kilogram dengan nilai pasaran RM4,560,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, ketika ditahan, lori sebuah syarikat pembekal peralatan pembinaan itu dalam perjalanan dari Sungai Manik ke Kuala Lumpur.
Katanya, kedua-dua suspek yang merupakan pekerja di syarikat tersebut telah mengambil peluang membawa barang syarikat bersama daun ketum itu untuk dijual kepada pelanggan di Kuala Lumpur.
“Siasatan mendapati, suspek aktif melakukan kegiatan itu sejak dua ke tiga bulan lalu dan daun ketum yang dibawa itu dalam proses untuk dijual kepada pembeli sedia ada,” katanya.
Tambah beliau, siasatan kes tersebut dijalankan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.-K!ONLINE