KUALA LANGAT-Sebanyak 14 notis denda maksimum RM500 di bawah Undang-Undang Kecil Mencegah Kekotoran (Majlis Daerah Kuala Langat) telah dikeluarkan terhadap pihak yang membuang sampah di kawasan Jalan Segenting Pulau Carey sejak tiga tahun lalu.
Menurut Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Datuk Amirul Azizan Abdul Rahim, dua notis di bawah UUK Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap (MDKL) 2007 yang membawa denda RM1,000 turut telah dikenakan.
“MDKL (kini dikenali sebagai MPKL) telah melakukan kerja pembersihan pada tarikh 30 April dan 29 Oktober 2019.
“Kita juga telah membersihkan kawasan tersebut pada 27 hingga 28 Januari, 5 Ogos, dan 23 Disember tahun lepas,”katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu Kosmo! melaporkan semalam, sikap individu tertentu membuang sampah basah dan pukal di Jalan Segenting berdekatan kawasan industri Pulau Carey jelas mencacatkan pemandangan kawasan sekitar.
Hasil perkongsian gambar seorang pengguna yang melalui kawasan tersebut menunjukkan sampah yang menimbun tersebut berbau busuk dan mencemar udara di kawasan terbabit.
Mengulas lanjut Amirul Azizan berkata, sebelum operasi pembersihan bersepadu hari ini, pihaknya telah melaksanakan pembersihan bersepadu pada 24 hingga 26 Februari lalu.
Justeru katanya lagi, pihak MPKL akan menempatkan tong-tong sampah bagi kegunaan penduduk kampung tradisi sekitar kawasan tersebut.
“Pemantauan yang kerap akan dilakukan untuk memastikan kawasan tersebut tidak lagi menjadi kawasan pembuangan sampah.
“Operasi bersepadu dengan agensi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Parit dan Saliran (JPS), Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) dan kontraktor akan diadakan dari masa ke semasa,”katanya.-K!ONLINE