fbpx

21 warga asing tangkap ikan di zon larangan ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bot nelayan Kelas C didapati menangkap ikan di zon larangan dekat perairan Pulau Batu Putih dekat Lumut semalam.

LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Perak menahan sebuah bot nelayan tempatan Kelas C kerana melanggar syarat sah lesen di kedudukan lebih kurang 3.5 batu nautika barat daya Pulau Batu Putih, dekat sini semalam.

Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, tangkapan tersebut dilakukan oleh bot ronda pasukan itu yang sedang melaksanakan Ops Benteng dan Ops Pintas di persempadanan perairan Perak pada pukul 8.50 pagi.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, bot itu dikendalikan oleh 21 kru yang terdiri daripada 19 warga Kemboja dan masing-masing satu warga Thailand serta Vietnam berumur dalam lingkungan 19 hingga 70 tahun.

“Kesemua 21 kru serta tekong warga asing ini mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Shahrizan, ketika ditahan, bot tersebut sedang melakukan aktiviti perikanan berhampiran Pulau Batu Putih dan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan kurang daripada lima batu nautika seperti kebenaran syarat sah lesen.

Jelasnya, kru dan tekong, serta hasil tangkapan dianggarkan lebih kurang 1,000 kilogram telah ditahan dan dibawa ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Bharu, Sitiawan dan tiba sekitar pukul 11 pagi semalam untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Perak bagi tindakan lanjut.

Shahrizan meminta orang ramai memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat lengkap sebarang aktiviti mencurigakan di perairan Perak melalui talian MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Perak 05 – 683 8737 dan berterima kasih di atas maklumat yang telah disalurkan bagi tujuan keselamatan bersama.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI